Pengerusi nelayan dedah cerita Pantai Teluk Bidara


ORANG RAMAI terutama pelancong ke Terengganu diingatkan agar tidak sesekali mandi atau menghampiri pantai dalam tempoh 'edah monsun' pada Disember hingga Mac.

Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Terengganu, Mat Yassim Mohamed yang dipetik laporan Sinar berkata, ketika musim monsun atau tengkujuh di Terengganu, pantai merupakan kawasan larangan kerana ombak kuat dan laut bergelora sukar diduga.

Jelasnya, walaupun kadangkala kawasan pantai dilihat selamat, namun ia boleh menjadi merbahaya bila-bila masa.

"Memang ada ketikanya gelora reda dalam tempoh sehari, dua tapi ia boleh bertukar jadi gelora kuat. Bagi yang biasa dengan laut seperti nelayan dan masyarakat tempatan, mereka memang tahu tempoh pantang ini.

"Masalah berlaku apabila ada orang luar dan yang tidak biasa dengan pantai, mereka masih bermain dan mandi manda di pantai tanpa tahu risiko yang mereka bakal hadapi.

"Kebiasaannya selepas Tahun Baru Cina, kebanyakan aktiviti di laut mula aktif tapi bagi nelayan misalnya, mereka masih mengambil langkah berjaga-jaga sehinggalah tempoh yang dikira selamat bermula Mac," katanya menurut portal itu.

Mat Yassim sebelumnya mengulas kejadian lemas membabitkan empat pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSZA) di Pantai Teluk Bidara minggu lalu.

Tambahnya lagi, Pantai Teluk Bidara boleh dianggap merbahaya kepada individu yang tidak biasa dengan pantai di kawasan itu.

Pantai berbatu dan curam itu agak berbahaya dan mudah tergelincir bagi mereka yang tidak biasa, malah pantai tersebut mempunyai gelombang dan arus berbeza dengan pantai lain kerana lokasinya di tepi muara Kuala Dungun.

"Sebab itu setiap masa, kena beringat dan waspada apabila berada di pantai," katanya lagi.

Post a comment

0 Comments