Perlu cepat tukar PM lepas kalah di Kimanis - Penganalisis


KEGAGALAN jentera Pakatan Harapan (HARAPAN) menyampaikan komunikasi dan pemasaran politik antara faktor calon parti Warisan gagal pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis.

Penganalisis politik dari Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi dipetik Sinar  memberi contoh isu Pas Sementara Sabah (PSS) yang sebenarnya memberi kebaikan kepada Sabah kerana mempunyai ciri biometrik yang mampu membuat 'profiling' pendatang asing.

“Secara peribadi isu ini sangat bagus kerana mempunyai ciri keselamatan dan dilihat lebih efisien. tetapi pembangkang (BN) melihat sebagai malapetaka dan naratif yang dibawa itu berjaya mendapat perhatian pengundi di PRK Kimanis,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Awang Azman berkata dalam isu ekonomi pula, rakyat mengharapkan Putrajaya memberi situasi yang lebih baik berbanding kerajaan terdahulu.

Bagaimanapun katanya, selepas 20 bulan tidak banyak perubahan dilakukan.

Sehubungan itu kata Dr Awang Azman, kerajaan persekutuan perlu melihat dalam konteks pembangunan dan keperluan rakyat terutama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak nanti.

“Kegagalan melihat keperluan negeri dari Borneo akan menyebabkan penolakan rakyat. HARAPAN perlu berubah atau menyemak semula janji pilihan raya mereka dan perlu ditunaikan,” katanya.

Sementara itu, Dr Awang Azman turut berpandangan, keputusan PRK Kimanis sepatutnya mempercepatkan lagi peralihan kuasa Perdana Menteri pada Mei depan.

Tegasnya, langkah penting itu bertujuan memberikan momentum baharu kepada pengganti untuk melakukan hala tuju bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) 15 nanti.

“Kegagalan peralihan kuasa ini, saya percaya akan menyebabkan ketidakpuasan hati rakyat yang mahukan ketentuan begitu juga dengan pelabur luar yang mahukan ketentuan," katanya menurut laporan itu.

Post a comment

0 Comments