Permohonan Jamal tiada merit, kes saman diteruskan.


PERMOHONAN Ketua Umno Sungai Besar Jamal Md Yunos untuk mengetepikan saman difaikan Menteri Industri Utama Teresa Kok terhadapnya ditolak.

Peguam mewakili Teresa, K Murali ketika mengesahkan perkara itu berkata, Mahkamah Tinggi ketika membuat keputusan itu mendapati tiada merit dalam permohonan yang difailkan Jamal selaku defendan.

Susulan itu difahamkan, Pesuruhjaya Kehakiman Quay Chew Soon menetapkan kes itu akan diteruskan dengan pendengaran pada 25 Februari depan.

"Mahkamah memerintahkan defendan membayar kos sebanyak RM3,000 dan perbicaraan kes saman itu akan diteruskan," katanya dan menambah mahkamah menetapkan 14 Jan untuk pengurusan kes selanjutnya.

“Ya, Jamal cuba ketepikan (saman ini) dan permohonannya ditolak,” kata Murali dipetik laporan media.

Teresa sebelum ini menyaman Jamal susulan dakwaan penyalagunaan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS).

Pada 16 Mac 2017, Jamal membuat laporan pada SPRM yang antaranya mendakwa Kok menyalahgunakan dana Skim Mesra Usia Emas (SMUE) bawah Yawas.
 

Post a comment

0 Comments