Pintasan audio: Najib jadi mangsa sendiri, kata peguam


 
TINDAKAN memintas perbualan melalui rakaman audio bukan kesalahan kerana undang-undang mengenainya telah dipinda ketika era pemerintahan Najib Razak sendiri.

Peguam Syahredzan Johan, berkata begitu sebagai merujuk pendedahan rakaman suara membabitkan bekas individu tertinggi negara serta beberapa yang lain seperti yang didedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah malaysia (SPRM) baru-baru ini.

Tambah Syahredzan,  peruntukan mengikut Seksyen 116C Kanun Acara Jenayah sememangnya memberi kuasa kepada pihak polis mendengar dan merakam perbualan mana-mana komunikasi jika terdapat maklumat berkaitan kegiatan jenayah dan mendapat kebenaran daripada pendakwa raya.

Mengulas pendedahan sebelum ini, Syahredzan berkata, rakaman berkenaan mempunyai unsur kepentingan awam kerana membabitkan bekas individu tertinggi negara dan penjawat awam.

“Rakaman itu mencadangkan terdapat percubaan pihak berkuasa untuk menutup dan membincangkan mengenai kertas siasatan.

“Ironinya, individu yang membenarkan polis memintas dan merakam perbualan dalam mana-mana komunikasi adalah Najib, ketika beliau memegang tampuk pemerintahan pada 2012,” katanya dipetik BH.

Ketika mengulas sama ada tindakan mendedahkan rakaman audio itu subjudis, Syahrezan menegaskan perkara berkenaan tidak akan mengganggu perbicaraan sedang berlangsung.

Sebaliknya, beliau berkata, pihak pendakwaan sudah mempunyai bukti yang cukup untuk mendakwa Najib dan hakim yang mendengar perbicaraan itu hanya akan membuat keputusan berdasarkan apa yang dikemukakan di mahkamah.

Post a comment

0 Comments