Presiden Persatuan sukan ditahan SPRM

 
SEORANG
Presiden persatuan sukan kebangsaan ditahan semalam selepas disyaki menyalahguna kuasa.

BH online dalam laporan yang memetik sumber berkata, suspek ditahan di kediamannya oleh sepasukan anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Beliau disiasat atas dakwaan menyalahgunakan kuasa dalam urusan pemberian kontrak berkaitan persatuan sukan yang diterajuinya.

“Suspek dipercayai memberi projek di bawah persatuan kepada syarikat yang dimiliki oleh ahli keluarganya,” kata sumber tersebut.

Suspek juga didakwa meluluskan beberapa projek kepada syarikat diterajuinya sendiri.

Bagaimanapun, sumber terbabit enggan mendedahkan jumlah projek dan nilai sebenar kontrak berkenaan kerana perkara itu masih dalam siasatan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki mengesahkan penahanan itu.

“Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi (Khamis) untuk direman dan mahkamah membenarkan reman selama empat hari sehingga 2 Februari ini.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009,” katanya.

Post a comment

0 Comments