PRK Kimanis: Penamaan calon pagi ini


DEWAN
Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun Banir di Beaufort bakal menjadi tumpuan hari ini.

Ia susulan bakal berlangsungnya proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis dijadual bermula jam 9.00 pagi ini.

Sudah tentu tumpuan akan terarah kepada jumlah calon yang bakal bertanding pada pilihan raya kecil itu.

Parti Warisan Sabah (Warisan) baru-baru ini mengumumkan Ketua Bahagian Warisan Kimanis, Datuk Karim Bujang, 67, sebagai calon parti kerajaan negeri itu, manakala Ketua UMNO Kimanis, Datuk Mohamad Alamin, 48, bakal mewakili Barisan Nasional (BN).

Karim merupakan calon Warisan bagi kerusi itu pada PRU14, namun kalah dengan majoriti 156 undi kepada bekas Menteri Luar,  Anifah Aman, yang ketika itu bertanding atas tiket BN.

Bagaimanapun, Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos tahun lepas membatalkan kemenangan Anifah selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

Sementara itu, dijangkakan juga beberapa calon bakal bertanding atas tiket Bebas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi tempoh satu jam kepada calon bagi mengemukakan borang pencalonan masing-masing.

Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun ketika ditemui pemberita selepas melawat pusat penamaan calon itu hari ini berkata, sebanyak 14 borang pencalonan bagi pilihan raya kecil itu sudah dijual setakat ini.

SPR menetapkan PRK Parlimen Kimanis pada 18 Januari ini manakala pengundian awal 14 Januari.

Post a comment

0 Comments