Rasuah: Filipina bakal dakwa bekas Ketua Polis


BEKAS Ketua Polis Filipina bakal didakwa kerana melindungi anggotanya yang dikaitkan dengan jualan dadah.

Perkara itu disahkan Jabatan Keadilan negara itu seperti dilapor agensi berita antarabangsa AFP.

Oscar Albayalde, meletak jawatan Oktober lalu selepas lebih setahun berkhidmat sebagai ketua polis selama setahun dalam perang Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, menentang gejala dadah yang menyaksikan ribuan suspek kes dadah menemui ajal.

Kejatuhannya secara tiba-tiba itu mencemari perang menentang dadah yang dialu-alukan rakyat Filipina tetapi menerima kritikan antarabangsa mendakwa polis membunuh suspek dadah dengan sewenang-wenangnya.

Jabatan Keadilan mendapati ada bukti mencukupi bagi mendakwa Albayalde kerana gagal menghukum anggota polis yang gagal mengisytiharkan 163 kilogram (kg) dadah dan 9.7 juta peso (RM776,000) hasil rampasan serbuan dadah.

Albayalde berulang kali menafikan melindungi anggotanya yang mengaut keuntungan hasil daripada dadah yang dirampas, yang jika bersabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun.

Menurut kenyataan polis, setakat bulan lalu, 5,552 suspek dibunuh dalam operasi berkaitan dadah sejak Duterte memegang Presiden pada Jun 2016 tetapi kumpulan hak asasi manusia mendakwa jumlah itu lebih tinggi.

Pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) sudah melancarkan siasatan awal terhadap perang dadah Duterte itu, dengan badan hak asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyokong kajian mendalam.

Perang dadah itu mendapat sokongan rakyat Filipina, namun pengkritik mendakwa ia hanya menyasarkan golongan miskin manakala yang kaya atau berkuasa terkecuali.

Post a comment

0 Comments