Rozman Isli ketuai jentera pilihan raya PRK Kimanis


BERBAKI 2 hari sebelum penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, Parti Warisan Sabah (Warisan) mengumumkan Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli mengetuai jentera Pilihan PRK itu.

Susulan lantikan itu, Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, meminta agar Rozman segera melancarkan jentera pilihan raya bersama parti komponen Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO).

Sementara itu menurut Rozman, beliau telah mengadakan mesyuarat dengan parti komponen HARAPAN bagi membincangkan kerjasama menjelang PRK itu.

malah pihaknya turut telah berjaya mengenal pasti lebih 100 pengundi berdaftar Kimanis yang tinggal dan bekerja di Daerah Labuah.

PRK Parlimen Kimanis diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi Parlimen itu setelah Mahkamah Persekutuan pada 2 Dis lepas mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan  Anifah Aman bagi Parlimen Kimanis dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada Mei 2018.

Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos lepas memutuskan bahawa kemenangan Anifah di Parlimen Kimanis pada PRU14 itu sebagai tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

Warisan telah diberi lampu hijau daripada rakan HARAPAN di Sabah untuk bertanding pada PRK itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Parlimen Kimanis pada 18 Jan, tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 4 Jan, manakala pengundian awal akan dilaksanakan pada 14 Jan.

Post a comment

0 Comments