Selenggara Taiping untuk tarik pelancong


BANDAR Taiping sememangnya mempunyai banyak daya tarikan pelancongan namun beberapa isu di daerah itu masih belum memuaskan.

Pengarah Bahagian Pembangunan Pakej Tourism Malaysia, Syed Yahya Syed Othman menyatakan kekecewaannya atas isu kebersihan dan penyelenggaraan yang menurutnya wajar dipertingkatkan.

“Selepas mengadakan lawatan ke beberapa lokasi, saya sangat kecewa dengan keadaannya sangat kotor dan ada yang tidak diselenggara dengan baik.

“Tandas kotor, tidak sempurna malah tiada air. Manakala sampah-sarap juga bersepah dan tidak dikendalikan dengan baik.

“Ini pastinya membuatkan para pengunjung tidak selesa, sayang sekali kerana banyak lokasi pelancongan yang hebat di Taiping yang boleh menarik ramai pelancong tetapi perkara-perkara ini menjejaskan potensi tersebut," katanya.

Terdahulu, Syed Yahya bersama rombongan ejen pelancongan dan media melawat beberapa lokasi yang dicadangkan untuk dimasukkan dalam pakej pelancongan pendidikan sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

Antaranya adalah Kilang Arang My Charcoal Factory, Pusat Pembelajaran Eko-Pelancongan Paya Bakau dan Jeti Nelayan Port Weld.

“Kami di Tourism Malaysia bersungguh-sungguh untuk mempromosikan lokasi-lokasi berkenaan tetapi dengan keadaan premis yang kotor dan tidak diselenggara dengan baik, memang mengecewakan, katanya dipetik MalaysiaGazette.

Post a comment

0 Comments