Selepas Taal, gunung berapi Semeru pula meletus


BELUM reda kebimbangan orang ramai berhubung letusan gunung berapi Taal di wilayah Batangas, Filipina, satu lagi gunung berapi di Jawa Timur pula dilapor meletus.

Gunung berapi Semeru di Lumajang, Indonesia dilaporkan memuntahkan debu panas setinggi sekurang-kurangnya 400 meter di udara semalam.

Ketua Unit Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi Indonesia (PVMBG), Hendra Gunawan mengesahkan letusan itu dengan berkata, gunung tersebut memuntahkan debu pada intensiti sederhana pada arah timur laut.

"Seismograf kami mencatatkan letusan selama 2 minit dan 9 saat dengan amplitud maksimum 25 milimeter (mm).

"Letusan disertai dengan 17 gempa bumi dengan amplitud 10 hingga 23mm. Tempoh gempa bumi adalah 56 hingga 130 saat," katanya seperti dilaporkan agensi berita Antara.

Katanya, letusan sering berlaku di Semeru kerana ia adalah gunung berapi aktif dan letusannya hanya memberi kesan kepada kawasan sekitar puncak gunung tersebut.

"Tahap amaran gunung masih berada di tahap berhati-hati atau tahap dua. Jadi, pelawat dan pendaki tidak dibenarkan melakukan sebarang aktiviti dalam radius satu kilometer (km) dan 4km dari selatan atau tenggara kawasan aktif kawah," jelasnya.

Sehubungan itu, beliau turut menasihatkan orang awam supaya berhati-hati memandangkan kawah Jongring Seloko boleh runtuh pada bila-bila masa.

Minggu lalu, penduduk di rantau ini dikejutkan dengan letusan gunung Taal di Filipina yang membebaskan debu panas sehingga 10 ke 15 kilometer (km) ke permukaan.

Selain memaksa penduduk kampung sekitar dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga, ia juga mengakibatkan penerbangan ke Manila tergendala.

Manakala pada awal bulan lalu, gunung berapi White Island, New Zealand meletus tanpa amaran dan membunuh 19 pelancong dan mencederakan ramai pelancong yang sedang bersiar di pelancongan berkenaan.

Post a comment

0 Comments