Siapa bakal dilantik Panglima baharu ATM?


PANGLIMA
baharu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dijangka bakal diketahui hari ini.

Memetik laporan Bernama, pengumuman panglima ke-21 ATM akan dibuat susulan persaraan Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin dari perkhidmatan tidak lama lagi.

Pelantikan jawatan nombor satu ATM itu akan ditentukan menerusi Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera yang dipengerusikan oleh Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dan perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Dijangka seorang daripada tiga panglima cabang ATM bakal mengisi kekosongan jawatan itu, mereka ialah Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawi, manakala Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dan Panglima TUDM, Tan Sri Affendi Buang.

Affendi, 57, telah berkhidmat sebagai Panglima TUDM sejak 21 Disember 2016, manakala Ahmad Hasbullah, 58, dilantik sebagai Panglima Tentera Darat pada 3 September 2018 dan Mohd Reza, 56, dilantik sebagai Panglima TLDM pada 30 November 2018.

Persoalannnya sekarang ialah siapa yang bakal dilantik sebagai Panglima ATM ke-21, adakah daripada Tentera Darat, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) atau Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Berdasarkan rekod, sejak 2011, jawatan Panglima ATM diisi oleh pegawai tertinggi daripada Tentera Darat.

Kali terakhir jawatan itu diisi oleh TUDM ialah pada 2009 menerusi Tan Sri Azizan Ariffin, manakala TLDM pada 2005 menerusi Laksamana Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor.
 

Post a comment

0 Comments