Tabung Haji keluar surat tawaran mulai minggu depan


LEMBAGA Tabung Haji (TH) akan mengeluarkan surat tawaran mengerjakan haji untuk musim haji 1441H/2020M kepada 31,600 bakal jemaah secara berperingkat.

Pengurus Besar Kanan Haji Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata surat tersebut akan dikeluarkan secara berperingkat mulai Selasa.

“Apabila kita mengeluarkan surat tawaran ini, kita beri tempoh kepada mereka selama 30 hari untuk menjawab sama ada setuju atau tidak untuk menerima tawaran itu, dan dari tarikh tutup tersebut kita dapat mengetahui berapa ramai yang tolak atau tunda pemergian haji. Kita juga akan dapat kenal pasti jumlah kekosongan yang ada," katanya dipetik laporan Bernama.

Tambah Syed Saleh, kekosongan berkenaan kemudian akan diisi oleh pendeposit TH yang telah mendaftar haji dan membuat rayuan untuk menunaikan Rukun Islam kelima.

Pemilihan dilakukan berpandukan merit-merit tertentu seperti merit rayuan mahram dan rayuan lanjut usia.

 "Sebagai contoh, isteri terpilih tetapi suami tidak terpilih maka suami boleh membuat rayuan untuk pergi bersama isteri dan sebaliknya. Keadaan sebegini akan diberi keutamaan, mereka yang sudah lanjut usia juga boleh membuat rayuan supaya kita dapat mempertimbangkan permohonan jika ada kekosongan.

Sumber - FB Pondok Ribat Ibrahimi

“Rayuan juga terbuka kepada mereka yang sudah berdaftar lama. Contohnya, sebelum ni dapat tawaran tetapi terpaksa tolak atas sebab tertentu seperti kekangan kewangan, kesihatan dan sebagainya. Keutamaan diberi kepada mereka yang ingin menunaikan ibadah itu buat kali pertama,” katanya lagi.

Arab Saudi baru-baru ini dilapor bersetuju menaikkan kouta rasmi bagi jemaah haji dari Malaysia, jumlah itu meningkat 31,600 jemaah berbanding 30,200 baru-baru ini.


Sementara itu menurut Syed Saleh, TH memperkenalkan borang rayuan mengerjakan haji bermula tahun ini.

Borang rayuan tersebut boleh didapati di laman web TH atau pejabat-pejabat cawangan TH bagi mereka yang ingin mengemukakan permohonan rayuan haji. Katanya borang itu perlu diisi oleh setiap individu yang ingin menunaikan haji bagi membolehkan TH mengenal pasti mereka yang mencukupi syarat.
 

Post a comment

0 Comments