Tak sempat sambut jeket keselamatan


KEGEMBIRAAN lima sahabat bercuti dengan aktiviti berkayak berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka lemas.

Dalam kejadian di Sungai Pengkalan Datu, Pulau Melaka dekat Kelantan semalam, Ahmad Zawawi Mohamad, 19, yang merupakan pelajar Maahad Muhammadi Lelaki gagal diselamatkan rakan-rakanya.

Rakan mangsa, Nazmi Mohd Nazam,19, memberitahu, kesemua mereka memulakan aktiviti berkayak menuju ke satu lokasi kira-kira sejauh 500 meter, tambahnya kebetulan Ahmad Zawawi memang sudah lama mengajak rakan-rakannya itu untuk beriadah di kawasan tersebut.

Menurutnya, ketika di lokasi riadah, arwah Ahmad Zawawi mengajaknya untuk mandi namun dia menolak kerana tidak membawa baju persalinan.

"Dia mandi dan kemudian saya nampak dia hampir tenggelam. Saya cuba campak jaket keselamatan tapi dia tak dapat capai. Saya cuba lagi sekali menggunakan kayak, namun dia tetap gagal capai.

"Arwah kemudian semakin tenggelam dan selepas itu saya hubungi pihak Bomba untuk minta bantuan. Memang saya dan rakan-rakan cuba sebaik mungkin untuk selamatkan dia," katanya.

Nazmi sementara itu menzahirkan rasa terkilan kerana  mangsa tidak dapat mencapai jaket keselamatan yang dicampakkan kepadanya.

Difahamkan, Ahmad Zawawi sedang menunggu keputusan ujian Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superitendan Mohd Suhaimi Ali berkata, pihaknya menerima maklumat tersebut pada jam 10 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, seramai 10 anggota polis, 13 anggota bomba dan empat wakil Angkatan Pertahanan Awam (APM) terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa.

"Operasi mencari dan menyelamat bermula pada jam 10.15 pagi dan selepas 15 minit selaman dilakukan, akhirnya mangsa ditemui pada jarak 30 meter dari lokasi mangsa lemas," jelas Mohd Suhaimi.

Post a comment

0 Comments