Tan Sri Abdul Aziz meninggal dunia



BEKAS Pengarah Urusan Malaysia Airlines Bhd, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman, 86, meninggal dunia pada Rabu akibat komplikasi kanser di Hospital Gleneagles, Ampang.

Allahyarham selamat dikebumukan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara semalam setelah jenazah dibawa ke Masjid Saidina Umar Bukit Damansara, di sini jam 9 pagi tadi untuk disolatkan.

Berita kematian Abdul Aziz disahkan anak Allahyarham, Anita Azrina di Facebook yang memaklumkan bapanya meninggal dunia pada jam 11.51 malam.

"Doakan Allah reda, beri keampunan dan rahmati ayahanda Abdul Aziz dan dipermudahkan segala urusan seluruh keluarga kita semua," katanya dalam catatan itu.

Sebagai rekod,  Abdul Aziz mula menyertai syarikat penerbangan itu (kini dikenali sebagai Malaysia Airlines - MAS) pada April 1971 sebagai Setiausaha Syarikat/ Pengarah Hal Ehwal Undang-Undang MAS.

Allahyarham dilantik sebagai Pengarah Urusan pada 1982 seterusnya menjadikan syarikat penerbangan negara itu berkembang menjadi jenama unggul dunia dengan mempunyai jaringan penerbangan di serata Asia, Eropah, Australasia dan benua Amerika.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Allahyarham juga kerap berkongsi pendapatnya tentang langkah untuk mengembalikan kegemilangan syarikat penerbangan itu.

Sementara itu, Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM) turut berkongsikan berita itu dan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

“Jasa Allahyarham akan dikenang warga pekerja MAS. Semoga rohnya dicucuri rahmat,” menurut kenyataan Nufam.

Post a comment

0 Comments