Tapir 350 kilogram ditemui mati dilanggar


SEEKOR
tapir betina dewasa dengan berat sekitar 350 kilogram ditemui mati dipercayai dilanggar kenderaan di Jalan Padang Tembak, Kluang, semalam.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri, Salman Saaban berkata, haiwan yang dikategorikan sebagai terancam itu dianggarkan berusia 7 tahun.

"Terdapat kesan kecederaan di bahagian kepala tapir tersebut di mana mulutnya berdarah dan berbuih disyaki kesan dilanggar yang menyebabkan kematiannya.

"Menurut maklumat, kemalangan dipercayai berlaku pada tengah malam 15 Januari sebelum dijumpai oleh orang ramai pada awal pagi keesokan harinya.

"Keadaan jalan yang gelap dan agak lurus mungkin menyebabkan pemandu tidak perasan tapir sedang melintas," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Salman, bangkai tapir tersebut telah ditanam di Ladang Mados Tanah Abang, Mersing dengan kerjasama pihak ladang.

Katanya, kejadian terbaru ini merupakan kes ketiga tapir mati dilanggar di Johor pada tahun ini.

"Kes pertama berlaku pada 5 Januari lalu di Batu 20, Jalan Kota Tinggi-Mersing, manakala kes kedua berlaku pada 13 Januari 2020 (Isnin) di Jalan Tanjung Balau-Sedili Kecil melibatkan seekor tapir betina dianggarkan berumur 6 tahun seberat 250kg," katanya dipetik Sinar.
 

Post a comment

0 Comments