Tasik 'lenyap' selepas gunung berapi Taal mengganas



AKTIVITI vulkanik di sekitar gunung berapi Taal di wilayah Batangas, Filipina sejak seminggu lalu bukan sahaja menyebabkan ribuan penduduk terpaksa dipindahkan.

Malah, ia didakwa menyebabkan kawasan tasik yang mengelilingi kawah gunung berapi itu semakin lenyap akibat tindak balas air dengan magma.

Agensi berita antarabangsa, BBC melaporkan saintis kini sedang memantau perkembangan Taal, gunung berapi yang terletak kira-kira 65 kilometer ke selatan Manila selepas ia membebaskan awan debu panas sehingga 15 kilometer ke permukaan udara pada akhir minggu lalu

BBC turut berkongsikan imej radar satelit ICEYE SAR yang menunjukkan keadaan tasik sebelum dan selepas fasa letusan Taal yang memaparkan tasik tersebut yang 'hilang'.

Satelit radar lain seperti Sentinel-1 turut digunakan untuk mengesan bagaimana perubahan sekitar gunung berapi tersebut, melalui teknik interferometrik tersebut saintis bakal lebih memahami bagaimana peralihan magma bawah gunung berapi dan kemungkinan aktiviti vulkanik pada masa depan.

Terdahulu, pihak berkuasa Filipina memberi amaran kepada penduduk supaya tidak menghampiri zon dalam lingkungan 14 kilometer dari kawah Taal berikutan kebanyakan mereka berdegil mahu pulang ke rumah masing-masing.

"Situasi masih perlu dipantau. Tiada lagi letusan tidak bermakna ancaman sudah berkurangan. Ia masih kekal bahaya," kata saintis dari Agensi Seismologi Filipina, Dr Maria Antonia Bornas.

Post a comment

0 Comments