TLDM akan terima aset pertahanan baharu


SEBAGAI
usaha memperkukuh sistem pertahanan negara, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dijangka menerima 12 aset udara yang baharu tidak lama lagi.

Difahamkan aset tersebut ialah sistem pesawat tanpa pengendali (UAS) daripada Amerika Syarikat yang dijangka akan meningkatkan keupayaan TLDM dalam aspek pemantauan domain maritim negara.

Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany berkata, sistem itu akan ditempatkan di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, Sabah.

"Selain itu, perolehan 18 bot pemintas laju dan tiga helikopter operasi maritim telah di peringkat tender dan akan dimuktamadkan.

"Pada masa sama, TLDM turut melaksanakan kajian kesesuaian ke atas cadangan yang diterima daripada beberapa negara bagi memenuhi keperluan MRSS (Kapal Sokongan Pelbagai Peranan)," katanya pada majlis perutusan Panglima TLDM bersempena tahun baharu 2020 di Wisma Pertahanan di Kuala Lumpur.

Tambah Mohd Reza, keperluan MRSS amat penting terutama dalam memastikan keperluan operasi logistik TLDM selain sokongan kepada bantuan bencana alam atau Bantuan Kemanusiaan dalam negara mahupun negara serantau.

"TLDM amat berkeyakinan melalui kemasukan aset baharu berkenaan dilihat mampu melaksanakan operasi dengan lebih efektif," katanya.

Post a comment

0 Comments