Tokan ketum dicekup polis


POLIS
Diraja Malaysia (PDRM) berjaya membongkar sindiket memproses dan menjual air ketum sekitar dekat Gombak, semalam.

Ia dengan tertangkapnya tujuh lelaki di sebuah bengkel kenderaan di Kampung Changkat.

Menurut Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Polis Gombak membuat pemeriksaan di bengkel tersebut pada jam 12.10 tengah malam selepas membuat intipan selama 10 minit.

Serbuan itu dibuat susulan aduan orang ramai.

"Ada enam lelaki sedang duduk di luar bengkel. Hasil pemeriksaan kita menjumpai sebuah beg biru yang berisi lima bungkus cecair disyaki air ketum.

"Selain itu kita juga telah menjumpai satu bungkusan plastik hitam mengandungi daun ketum yang dianggarkan seberat tujuh kilogram dan 55 bungkusan air ketum," katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun jelasnya, seorang lelaki yang merupakan pemilik bengkel berkenaan keluar dari premis tersebut ketika pemeriksaan itu.

Dalam serbuan itu, polis turut menjumpai beberapa peralatan yang digunakan untuk memproses air ketum.

"Kita merampas dua tong gas, dua set dapur, dua set periuk mengandungi daun ketum, satu alat penimbang, senduk dan penapis air.

"Semua individu berusia dari 19 hingga 36 tahun itu dibawa ke Balai Polis Gombak untuk siasatan  mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952," katanya lagi.

Post a comment

0 Comments