Transisi jawatan PM: Anwar gesa semua bertenang



SEMUA
pihak digesa tidak membicarakan soal peralihan kuasa secara terbuka sehingga mengganggu keharmonian dalam Pakatan Harapan (HARAPAN).

Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat gesaan itu sambil mengingatkan mereka agar menghormati konsensus yang telah disepakati pada Januari 2018.

“HARAPAN dan Tun Dr Mahathir telah berulang kali menegaskan komitmen untuk menjayakan proses transisi seperti yang dipersetujui.

“Maka sewajarnya kita turut menghormati keputusan tersebut agar ianya berlaku secara aman dan teratur,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataan terbaru Ahli Parlimen Port Dickson itu dipercayai merujuk kepada perang mulut dalam kalangan penyokong kedua-dua pemimpin terbabit.

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam satu kenyataan mempersoalkan tindakan  pemimpin dalam HARAPAN mempersoalkan kedudukan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.

BACA: Otai reformis hentam menteri, mulakan gerakan ganti PMBACA: Perlu cepat tukar PM lepas kalah di Kimanis - Penganalisis
Beliau menyifatkan desakan supaya Dr Mahathir berundur sebagai tidak bertanggungjawab dan membelakangkan konsensus HARAPAN.

Bagaimanapun kenyataan Syed Saddiq itu dikecam Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy daripada DAP yang mahu Syed Saddiq tidak mempersoalkan hak demokratik untuk meminta Dr Mahathir menghormati perjanjian menyerahkan kepemimpinan negara kepada Anwar.

Naib Presiden KEADILAN, Chang Lih Kang turut menyangkal Syed Saddiq yang menurutnya bertegas mengenai konsensus HARAPAN namun tidak memberi sebarang reaksi apabila sesetengah pihak mendesak Dr Mahahir supaya berkhidmat sehingga habis penggal.

Untuk rekod, berdasarkan konsensus HARAPAN pada Januari 2018, Dr Mahathir akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar.

Namun sehingga kini tiada tarikh tertentu ditetapkan sehingga dijangka bakal memberi kesan besar terhadap sokongan rakyat terhadap HARAPAN terutama ketika menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) yang bakal diadakan tidak lama lagi. 


Sementara itu,  Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng turut menyokong gesaan Anwar.

Jelasnya, perbincangan berhubung peralihan kuasa bagi jawatan perdana menteri perlu dilakukan dalam Majlis Presiden HARAPAN sendiri agar percakaran itu tidak diambil kesempatan oleh pembangkang. 

"Percakaran secara terbuka akan hanya memanfaatkan pihak lawan kita. Jadi mari kita tumpu pada pentadbiran dan isu ini akan diselesaikan secara dalaman," kata Lim ketika mengadakan lawatan ke IOI Mall di Puchong.



Post a comment

0 Comments