Ukraine tuntut permohonan maaf rasmi dari Iran


UKRAINE menuntut Iran membuat pengakuan bersalah penuh dalam tragedi udara pesawat Boeing 737 yang terhempas Rabu lalu.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy dalam satu kenyataan semalam menuntut satu siasatan lengkap dan pampasan sewajarnya dari Iran susulan pengakuan tentera negara itu telah ‘tersilap’ menembak jatuh pesawat penumpang tersebut.

Tegas Zelenskiy mereka kini menantikan tindakan lanjut dari Tehran atas tuntutan dikemuka mereka itu.

“Iran telah mengaku bersalah menjatuhkan pesawat Ukraine namun kami menuntut pengakuan bersalah penuh.

“Kami mengharapkan jaminan dari Iran yang negara itu bersedia untuk siasatan terbuka dan sepenuhnya. Membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan, memulangkan mayat mereka yang terbunuh, pembayaran pampasan selain pemohonan maaf secara rasmi menerusi saluran diplomatik,” kata Zelenskiy.

Iran pada Sabtu mengakui pihak tentera negara itu telah secara ‘tidak sengaja’ menembak jatuh pesawat penumpang milik Ukraine yang mengorbankan 176 penumpang.

BACA:
Tentera Iran mengaku tertembak pesawat penumpang
BACA: Ada muslihat di sebalik konflik AS, Iran

Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif dalam catatan Twitter beliau berkata selain 'kesilapan manusia', sikap ‘gemar mengambil risiko’ oleh Amerika Syarikat juga menyumbang kepada tragedi itu.

Pesawat dikendalikan oleh syarikat Penerbangan Antarabangsa Ukraine itu, terhempas di pinggiran ibu kota Tehran sejurus berlepas, hanya beberapa jam selepas Iran melancarkan serangan peluru berpandu ke arah pangkalan tentera Amerika Syarikat di Iraq.

Post a comment

0 Comments