Warung RM1 tepi sawah tular di media sosial


BERNIAGA sambil kejar saham akhirat. Itulah yang boleh digambarkan tentang usaha seorang pemuda yang membuka sebuah warung yang menawarkan menu RM1.

Zulkifli Ismail, 39, yang mengusahakan warung makan pada harga murah itu berkata, kesusuhan dialami keluarga miskin setiap kali terpaksa berbelanja besar untuk menjamu selera bersama keluarga di restoran sebelum ini menjadi pendorong beliau menjalankan perniagaan warang itu.

“Bila kita makan di kedai, kalau bawa seorang dua anak mungkin ibu bapa mampu membayar harga makanan tetapi jika jumlah ahli keluarga yang besar bukan semua orang mampu,” katanya dipetik Bernama.

Terletak di Kampung Sungai Padang, Perlis, warung ‘Selera D’ Bendang Senja’ berkonsepkan pemandangan sawah padi itu tular di laman sosial sehingga menerima kunjungan pelanggan yang tidak putus.

Malah ada pelanggan dari Perak sanggup datang ke Perlis semata-mata untuk merasai laksa utara yang menjadi menu paling laris di warung berkenaan.

“Alhamdulillah sambutan yang diterima luar biasa,  kurang daripada tiga jam semua makanan sudah habis dijual… saya buka warung pukul 11.00 pagi dan kira-kira pukul 1.30 petang dah boleh tutup kedai,” katanya lagi.
 
Difahamkan, antara menu yang ditawarkan pada harga RM1 iaitu nasi lemak, bihun sup, mee sup, kueyteow sup, maggi sup, nasi goreng termasuk menu paling laris iaitu pulut ayam, laksa utara, nasi ayam, dan nasi daging selain pelbagai jenis minuman juga pada harga sama termasuk ais batu campur (ABC), cendol dan laicikang.

Setiap hari Zulkifli, yang dibantu oleh tiga pekerja akan memasak sebanyak lapan kilogram (Kg) beras pulut, 20kg beras, 20 bungkus laksa dan 20 ekor ayam.

Sementara itu, seorang pelajar Tingkatan 5, Zaidi Putra Zakariah, 17 yang dilapor Bernama berkata meskipun harga yang ditawarkan RM1 untuk setiap jenis hidangan namun beliau berpuas hati dengan makanan yang disediakan.

Seorang lagi pelanggan, Nurul Natasha Asmira Azhar, 16, berkata makanan yang dtawarkan di sini sangat sedap selain kuantiti yang banyak mengenyangkan perutnya.

"Makanan di sini berbaloi untuk dinikmati selain pemandangan indah sawah padi yang terbentang luas di sini," katanya dipetik laporan tersebut.

Post a comment

0 Comments