10 pelajar lemas, guru didakwa cuai


SEORANG
guru di Yogyakarta, Indonesia didakwa cuai hingga menyebabkan kematian 10 pelajar sekolah menengah yang dihanyutkan banjir kilat minggu lalu.

Jurucakap polis, Komisaris Besar, Yulianto, yang dipetik satu laporan berkata suspek tersebut adalah guru Pendidikan Jasmani di Turi 1, SMP di Sleman.

“Dia didakwa mengikut Artikel 359 Kanun Jenayah di atas kecuaian hingga mengakibatkan kematian serta boleh disabitkan dengan Artikel 360 atas kecuaian hingga menyebabkan kemalangan.

“Jika bersabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih lima tahun,” katanya.

Terdahulu pada Jumaat, seramai 249 pelajar SMP Turi 1 dihanyutkan arus Sungai Sembor ketika mereka menjalankan kegiatan pengakap.

Mereka ikatakan merentasi hutan dari Kampung Dukuh dekat Donokerto, daerah Turi, Sleman dan menyeberangi tebing sungai itu sejauh kira-kira satu kilometer sebelum dilanda arus kuat susulan banjir kilat.

Yulianto berkata, kegiatan pengakap itu dipantau tujuh guru pengiring dengan seorang daripadanya berada di sekolah sementara enam guru menyertai pelajar.

Malah mereka didakwa tidak membawa tali ketika menjalankan kegiatan itu.

Kumpulan guru yang menyelia pelajar itu turut dilapor telah diminta penduduk setempat agar membatalkan kegiatan itu kerana bahagian utara sudah dilanda banjir.

“Tetapi guru pengiring mengatakan tiada apa perlu dibimbangkan, nyawa ditentukan Tuhan,” kata seorang pelajar, Tita Vhasya Pradita.

 

Post a comment

0 Comments