3 sekeluarga maut dalam kebakaran 30 rumah


TIGA sekeluarga rentung dalam insiden kebakaran di sebuah perkampungan  atas air di Batu Sapi dekat Sandakan, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Afikah Sulaiman, 20, dan dua anaknya Nurul Katrishah Aiman, 3, dan Mohd Sharil Aiman, 12 bulan.

Beberapa orang termasuk lelaki berusia  20-an yang dipercayai suami Afika turut cedera.

Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Mohd Azhar Hamin yang mengesahkan kejadian itu berkata, mayat tiga beranak itu telah dihantar ke Hospital Duchess of Kent untuk bedah siasat

Manakala mangsa yang melecur menerima rawatan di hospital sama.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Kamarulzaman Malik Abdullah berkata wanita bersama dua anaknya ditemukan  mati dalam salah sebuah rumah ketika kebakaran membabitkan 30 buah rumah itu.

Pihaknya yang menerima panggilan kecemasan pada 6.34 pagi menghantar lebih 18 anggota ke lokasi kejadian.

“Pada 7.36 pagi, api berjaya dikawal seterusnya pemeriksaan mendapati terdapat tiga mangsa rentung.

“Maklumat awal mendapati kira-kira 30 buah rumah musnah,” katanya pada sidang media.

Menurutnya, punca kejadian masih dalam siasatan dan operasi tamat sepenuhnya pada 10.31 pagi.

Post a comment

0 Comments