9 individu sesat di Juasseh ditemui selamat


SEMBILAN
anggota daripada empat agensi kerajaan yang sebelum ini tersesat berdekatan Empangan Juasseh di Labis, Johor berjaya ditemui.

Kesemua mereka yang berusia lingkungan 24 hingga 47 tahun yang sesat berada dalam keadaan selamat setelah dilapor hilang sejak pagi semalam.

Kesemua mereka yang sepatutnya keluar semalam dilapor sedang menjalankan Operasi Bersepadu Khazanah sejak 5 Feb, lepas di kawasan berkenaan.

Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Farizan Mokhtar berkata, empat agensi terbabit ialah Jabatan Perhilitan Johor, Batalion 3 PGA Bidor Perak, Pejabat Hutan Labis dan Perbadanan Taman Negara Johor.

Sebelas anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Labis dan Bandar Baru Segamat ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat berhubung kejadian kira-kira jam 7.30 pagi.

"Pasukan mencari dan menyelamat dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu darat dan air.

"Ketika operasi SAR sedang dilakukan, salah seorang mangsa berjaya menghantar 'latitude & longitude' lokasi sebenar mereka ke Pejabat Perhilitan Juasseh.

"Pasukan SAR ke lokasi kejadian dan semua mangsa ditemui selamat pada jam 10 pagi," katanya menerusi satu kenyataan pagi tadi.

Kesemua mangsa yang berjaya diselamatkan itu kemudian dibawa ke Jeti Empangan Juaseh untuk tindakan selanjutnya.

Post a comment

0 Comments