9 maut gempa landa Iran-Turki


SEMBILAN
orang termasuk empat kanak-kanak maut selepas gempa bumi berukuran 5.7 pada skala Richter menggegarkan sempadan barat laut Iran dan Turki semalam.

Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) dalam satu kenyataan berkata, gempa berlaku pada jam 9.23 pagi (waktu tempatan) berhampiran kampung Habash-e Olya yang terletak kurang 10 kilometer dari sempadan.

Manakala Pusat Seismologi Universiti Teheran pula memaklumkan, gempa bumi berada pada kedalaman enam kilometer.

Menteri Kesihatan, Fahrettin Koca memberitahu, seramai 37 orang cedera dan sembilan daripadanya berada dalam keadaan kritikal.

"Sebanyak 25 ambulans, sebuah helikopter penyelamat dan pasukan perubatan telah dikerah ke kawasan gempa," katanya dipetik Agence France-Presse.

Di Turki, gegaran dirasai di kebanyakan daerah di Baskale di wilayah Van dekat sempadan Iran.

"Buat masa ini kami berdepan situasi di mana terdapat penduduk yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan," kata Menteri Dalam Negeri Turki, Suleyman Soylu.

Menurut perkhidmatan kecemasan, gempa turut merosakkan bangunan di 43 buah kampung.

Post a comment

0 Comments