Abam Bocey selamat bersemadi


JENAZAH pelawak terkenal, Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan, 32, yang meninggal pagi tadi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu di Gombak sebentar tadi.

Allahyarham  yang juga anggota kumpulan Bocey selamat meninggal dunia di rumahnya di Kampung Sungai Salak Batu 10 Gombak ketika tidur.

Terdahulu, jenazah tiba di Masjid Gombak Utara (Zakaria) kira-kira jam 5.10 petang untuk dimandikan, dikafankan dan disembahyangkan.

Lebih 2,000 orang hadir di masjid berkenaan untuk memberikan penghormatan terakhir termasuk rakan artis antaranya Achey, Fizo Omar, Tomok, Black dan AC Mizal.

Allahyarham meninggalkan isteri, Nor Hidayah Mohd Ali, 28, dan anak lelaki, Syed Uthman Hamzah Al- Juffrey berusia lapan bulan.

Abam bersama Fad dan Achey menganggotai kumpulan Bocey dan pernah menjuarai Maharaja Lawak Mega pada 2017.

Isteri Allahyarham, Siti Norhidayah memberitahu Abam sebelum ini demam dan mengadu kurang sihat sejak dua hari lalu.

Adik Allahyarham Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan, 31, atau dikenali sebagai Ali putih  sebelum ini berkongsi cerita dia masuk ke dalam bilik dan melihat abangnya itu kaku terbaring di atas katil.

Dia sebelum itu menerima panggilan dari isteri Allahyarham yang menyatakan bahawa abangnya itu pengsan.

“Isteri dia kata dia (Abam) macam pengsan, saya masuk rumah dia, sebab rumah kami tidak jauh.

"Namun, beliau menyedari abangnya itu telah pergi buat selama-lamanya selepas mendapati tiada reaksi dari Abam.

“Tetapi dia tak menyahut, saya sedar abang saya dah tak ada (meninggal dunia). Tetapi saya kuatkan semangat, saya cakap pada diri saya, dia boleh bangun lagi ini, saya rapatkan muka saya dengan dia tapi memang dia dah pergi tinggalkan kami,” kata Ali yang sebak tidak dapat menahan emosi.

Sementara itu, warganet menyifatkan pemergian Abam sangat mengejutkan, dan pasti akan merindui pelawak itu.
 

Post a comment

0 Comments