AGC wajar semak pertuduhan berkaitan DAESH - Anwar


PRESIDEN KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Pejabat Peguam Negara (AGC) melakukan kajian semula terhadap pertuduhan dan hukuman tidak setimpal yang dikenakan kepada beberapa individu yang dikaitkan dengan militan DAESH.

Menurut Anwar, beliau berpandangan beberapa individu dipenjarakan atas dakwaan ‘menyokong’ DAESH wajar mendapat pertimbangan sama dengan 12 tertuduh yang digugurkan pendakwaan menyokong kumpulan pengganas, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) oleh Peguam Negera baru-baru ini.

Bagaimanpun, Anwar turut menegaskan bahawa gesaan dibuat itu tidak bermakna dirinya atau kerajaan berkompromi dengan perbuatan keganasan atau mana-mana kumpulan yang dikategorikan sebagai pengganas.


“Saya telah suarakan termasuk kepada Menteri Dalam Negeri bahawa ada tahanan DAESH yang tidak dapat dipastikan kaitannya dengan gerombolan pengganas atau keganasan.

“Ada kes dilaporkan dan saya jumpa ketika saya di Penjara Sungai Buloh, yang saya anggap kes itu kesalahan kecil. Baju, sokongan atau derma kepada jiran yang saya fikir, cukuplah dengan hukuman yang ada sekarang.

“Saya gesa perkara ini dikaji semula dan diberi pertimbangan sama seperti pertimbangan yang dibuat kepada tahanan LTTE,” jelasnya.

Anwar sebelumnya hadir ke Himpunan 6 Dekad Keluarga Besar Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) di Bangi siang tadi.

Tambahnya, antara yang perlu diteliti adalah membabitkan ‘kesalahan kecil’ yang tiada kaitan langsung dengan kumpulan pengganas atau aktiviti keganasan, seperti memiliki baju atau lambang DAESH.

Anwar berkata begitu sebagai mengulas keputusan Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas semalam yang menggugurkan pertuduhan terhadap 12 individu, termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP, dikait dengan LTTE.

Dalam kenyataan 13 muka surat, Tommy memberitahu, keputusan itu diambil selepas mendapati tiada prospek jelas untuk sabitan terhadap semua tertuduh dengan mana-mana 34 pertuduhan yang sedang dihadapi mereka.

Jelasnya, perbuatan memiliki gambar atau perkara lain yang dikaitkan dengan individu atau kumpulan pengganas, tidak menukar seseorang itu menjadi pengganas atau menyokong kumpulan terbabit.

Post a comment

0 Comments