Anwar positif HARAPAN mampu kembali tadbir M'sia


PRESIDEN
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim percaya beliau masih mempunyai sokongan mencukupi bagi memastikan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) kembali mentadbir negara.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan malam ini menerusi akaun Twitter @anwaribrahim, Ahli Parlimen Port Dickson itu juga menyatakan ahli parlimen dari HARAPAN telah menyuarakan sokongan mereka ketika mengadap Yang di-Pertuan Agong sebelum ini. 

Petikan tweet Anwar Ibrahim
Tambahnya, beliau turut yakin ada Ahli Parlimen 'di sebelah sana' yang tidak suka tindakan pucuk pimpinan telah mencuri suara mereka akan juga memberi sokongan untuknya.

"Saya tahu sesetengah ahli parlimen di pihak sebelah sana tidak gembira kerana pemimpin parti mereka telah merampas suara mereka," katanya.   

Anwar kemudian mengakhiri hantaran itu dengan: "Marilah kita jayakan proses demokratik ini. Insyaallah.”

Kerajaan HARAPAN, yang terdiri daripada KEADILAN, DAP, Bersatu dan Amanah, tumbang pada Isnin selepas Bersatu dan 10 ahli parlimen KEADILAN dari kem Azmin keluar dari gabungan tersebut.

Susulan itu, Tun Dr Mahathir Mohamad telah meletak jawatan sebagai perdana menteri namun dilantik sebagai perdana menteri interim oleh Yang di-Pertuan Agong. 

Dr Mahathir kemudiannya memberi bayangan untuk membentuk kerajaan campuran, namun PAS dan Umno kemudiannya menarik semula sokongan dan menggesa agar Parlimen dibubarkan.

Kedua-dua parti itu kemudian mengubah semula pendirian menyokong Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri setelah parti itu mencalonkan Ahli parlimen Pagoh itu untuk jawatan tersebut.
 

Post a comment

0 Comments