Anwar selar pemimpin tagih simpati guna isu kaum


ISU perkauman sempit yang kerap dimainkan kebelakangan ini dianggap sebagai tindakan terdesak pemimpin politik tertentu bagi mengelirukan dan mendapatkan sokongan ramai.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, wacana berkaitan soal perkauman dimainkan terutama dalam kalangan ahli politik yang sebelum ini berkuasa, mempamerkan kekayaan dan 'merompak' tetapi kini menggunakan isu berkenaan bagi menarik golongan miskin bersama mereka.

Anwar bagaimanapun tidak menamakan pemimpin politik yang dimaksudkan itu.

"Mereka menggunakan isu kaum untuk mengelirukan orang ramai. Mengapa kita mahu membenarkan peminggiran dan pengabaian (terhadap mana-mana kaum) sedangkan kita mempunyai segala sumber.

"Mereka ini (yang terpengaruh dengan politik perkauman) sentiasa akan diperalatkan dan kekal dalam kemiskinan," jelasnya.

Anwar sebelumnya menghadiri Persidangan Serantau Hidup Bersama Dalam Budaya Damai 2020 di Shah Alam siang tadi.

Anwar berkata, prinsip kedamaian dan keadilan perlu diketengahkan supaya nasib semua kaum di Malaysia yang berdepan kemiskinan lebih terjamin.

Sebagai rekod,  Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika  ketika berucap pada majlis Sambutan Maal Hijrah 1441 peringkat Perak di Pusat Konvensyen Casuarina  di Ipoh pada September lalu menitahkan semua pihak menghentikan perbuatan menyalakan api perkauman dan meniup bara permusuhan antara agama.

Titah baginda, perbuatan itu wajib dihentikan segera dan undang-undang wajib didaulatkan supaya keselamatan nyawa, keselamatan harta benda warga tidak berdosa dilindungi.

“Apakah kemenangan yang mahu diperoleh oleh sebahagian mereka yang bergelar pemimpin, bersaing mempamerkan ego masing-masing sehingga sanggup meletakkan nilai diri sebegini rendah, dalam hasrat mencari pengaruh dan mendapatkan sokongan politik.

“Apakah kepuasan yang bakal dihirup, sekiranya darah warga membasahi bumi, mayat bergelimpangan, bangunan terbakar dan kenderaan hangus, suhu panas ini wajib segera diturunkan,” titah baginda.

Post a comment

0 Comments