Anwar sudi Tun M terus bantu setelah tukar pentadbiran


PRESIDEN Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim berbesar hari sekiranya Tun Dr Mahathir Mohamad ingin kekal dalam Kabinet meskipun selepas beliau meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.

Kata Anwar, keberadaan Dr Mahathir penting bagi membolehkan pemimpin itu terus menyumbang ke arah kemajuan dan pembangunan ekonomi negara.

Namun tegas Anwar, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi mempertimbangkan perkara itu.

“Bagaimanapun saya terbuka kepada idea tersebut kerana ia akan memberi manfaat yang besar kepada negara berdasarkan pengalaman beliau yang begitu luas.

“Ia juga akan membantu dari segi mendapatkan peralihan kuasa yang lebih aman dan pada masa yang sama, menggerakkan ekonomi negara ke hadapan,” katanyadi luar Simposium ‘The Construct of a Nation: As I See It’ anjuran Universiti HELP pada Khamis.

Kenyataan Presiden KEADILAN itu sama seperti kenyataan dalam wawancara bersama Reuters di pejabatnya awal Febuari lalu.

Anwar ketika wawancara itu berkata, setelah peralihan kuasa kelak berlaku, beliau juga bersedia memberi ruang untuk Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad menyumbang buah fikirannya dalam memastikan agenda reformasi dijayakan.

Sementara itu, Anwar turut menegaskan bahawa beliau tidak bercadang untuk menganggotai Kabinet sebelum peralihan kuasa.

Ditanya sama ada beliau akan meminta tarikh yang tepat bagi penyerahan pucuk kepimpinan negara, Anwar berkata: "Tidak, kami akan mengadakan perbincangan mengenai tarikh itu.

“Perdana Menteri telah menyatakan bahawa ia akan berlaku selepas Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), jadi kami akan menyelesaikan perkara ini dan saya rasa sesiapa pun tidak patut diberi tekanan,” katanya.

Anwar menegaskan Dr Mahathir harus diberi kebebasan untuk memerintah dan berkata beliau tidak mempunyai sebab untuk mempersoalkan keikhlasan Perdana Menteri.
 

Post a comment

0 Comments