Anwar tenang disebalik 'pengkhianatan'


PRESIDEN
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa terkejut percubaan pengkhianatan terhadap Pakatan Harapan (HARAPAN).

Bercakap ketika Majlis Zikir Tazkirah-Selawat Nuril Anwar-Solat Hajat yang diadakan secara mingguan di kediamannya di Bukit Segambut malam tadi, Anwar bagaimanapun dilihat tenang.

“Kita dikejutkan dengan perkembangan yang bagi kita satu pengkhianatan kerana sudah janji dan sebagainya maka menyebabkan ada perubahan.

“Maklumat yang saya terima memang ada usaha demikian,” katanya

Anwar sebelum itu sambil berseloroh berkata, beliau mengetahui penyokong yang hadir ke kediamannya dalam keadaan gelisah dengan perkembangan yang berlaku.

Namun tegasnya, beliau yakin isu tersebut akan dapat diatasi.

“Kita jangan terganggu memang biasa kita manusia akan terganggu lah sikit kerana kejutan tidak dijangka.Kita ambil pendekatan yang sangat sederhana.

“Kita pernah lalui lebih parah dulu...ini hanya cubaan kecil. Selalu mak, tok guru dan kiyai pesan pada saya nak capai yang agak penting, besar cita-cita nak buat perubahan lebih bermakna untuk menuju ke satu tahap maka liku-liku dan halangan lebih besar.

“Harap ALLAH mempermudahkan dan memperkuatkan kita dan yang akhirnya penting mencapai kebaikan dan kemenangan,” katanya.

Semalam, rakyat terganggu dengan 'kejutan' apabila beberapa parti besar termasuk pembangkang mengadakan mesyuarat khas di Kuala Lumpur seolah-olah ada pengumuman penting yang akan diumumkan dalam masa terdekat melibatkan gabungan politik baharu untuk Malaysia.

Bagaimanapun setakat malam tadi, media melaporkan kejutan itu berakhir dengan program makan malam dihadiri beberapa pemimpin pro Azmin Ali bersama pemimpin utama pembangkang.

Post a comment

0 Comments