Armada tutup pintu kepada kerjasama dengan Umno


PARTI
Pribumi Bersatu Malaysia akhirnya membuat pendirian susulan situasi tidak menentu politik negara.

Parti itu melalui sayap pemudanya, Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) menolak untuk bersekongkol dengan parti pembangkang UMNO.

Ketuanya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam sidang media malam tadi berkata, Armada menyokong penuh pendirian Tun Dr Mahathir Mohammad yang menolak kerjasama dengan UMNO di bawah kepimpinan Ahmad Zahid Hamidi secara ‘en-bloc’ bagi membentuk kerajaan baharu.

"Atas dasar prinsip dan integriti, tidak mungkin kami akan bersekongkol dengan mereka yang telah mencalarkan imej bangsa Melayu dengan merompak dan mengkhianati amanat rakyat sewaktu di tampuk kuasa.

"Ini merupakan satu pengkhianatan kepada mandat rakyat dan prinsip perjuangan Bersatu," katanya Syed Saddiq.

Semalam, penasihat media Dr Mahathir, Kadir Jasin melalui tulisan di blognya berkata, Perdana Menteri Interim itu tidak berminat menjalin kerjasama bersama golongan dianggap penjenayah, kleptokrat, OKT (orang kena tuduh) dan yang korup.

Individu-individu itu dipercayai merujuk beberapa pemimpin dalam pembangkang yang kini berdepan kes-kes mahkamah.

Sementara itu, Syed Saddiq berkata, Armada akan terus mempertahankan kebenaran dengan memastikan amanah diberikan rakyat dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu dipertahankan.

Post a comment

0 Comments