Baru Bian digesa letak jawatan Ahli Parlimen


AHLI akar Umbi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Selangau dilapor membuat gesaan supaya Baru Bian meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen.

Ketua bahagian itu, Joshua Jabeng yang dipetik FMT berkata Baru tidak berunding dengan jawatankuasa parti di peringkat bahagian mengenai keputusannya untuk keluar parti.

“Rakyat mengundinya pada pilihan raya umum lalu dengan harapan beliau boleh membawa pembangunan di kawasan itu sebagai menteri penuh dalam gabungan Pakatan Harapan,” kata Joshua dalam kenyataan.

Baru Bian yang dilantik sebagai Menteri Kerja Raya dibawah kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) yang mendapat mandat pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu meninggalkan KEADILAN bagi bersekutu bersama kem bekas Timbalan Presiden parti itu, Mohamed Azmin Ali dan Zuraida Kamarudin.

Turut bersama meninggalkan parti itu ialah lapan Ahli Parlimen KEADILAN  iaitu Willie Mongin (Puncak Borneo), Ali Biju (Saratok), Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak), Mansor Othman (Nibong Tebal), Rashid Hasnon (Batu Pahat), Santhara Kumar (Segamat) dan Jonathan Yasin (Ranau).

Jonathan Yasin bagaimanapun kemudiannya berkata, dia tidak bersama kem Azmin dan mengumumkan masih ahli KEADILAN.

Baru Bian yang sebelum ini dilantik Pengerusi KEADILAN Sarawak pernah dikritik kerana dilihat gagal mengkoordinasi gerak kerja parti itu dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi.
 

Post a comment

0 Comments