Beri kelonggaran kepada pembeli kondo runtuh - Peguam


SUSULAN
insiden kondominium bagi projek Taman Desa di Jalan Klang Lama yang runtuh pada Jumaat, seorang peguam hartanah tampil mencadangkan agar pembeli unit kondominium itu diberi pilihan membatal atau meneruskan perjanjian pembelian mereka.

Salkukhairi Abd Sukor berkata, perjanjian jual beli standard sedia ada tidak membabitkan pembatalan automatik jika sebuah bangunan yang sedang dibina runtuh.

Pemaju projek Taman Desa bersetuju jelasnya boleh mengambil langkah membenarkan pembeli untuk membuat pembatalan, namun kedua-dua pihak perlu menandatangani perjanjian penamatan dan penyelesaian.

“Perjanjian seperti ini akan memperincikan hak pembeli, termasuk pemulangan wang dibayar, hak mendapatkan pampasan dan sebagainya.”

Beliau menggesa kerajaan campur tangan dalam perkara itu untuk melindungi kepentingan pembeli.

“Keselamatan bangunan tidak boleh diambil ringan dan pemaju serta pihak berkuasa perlu melihatnya dengan serius,” katanya dipetik satu laporan media.

Sementara itu tambah Salkukhairi lagi, pembeli yang mahu meneruskan pembelian juga perlu diberikan penjelasan terperinci mengenai thap keselamatan kediaman itu untuk didiami pada masa depan.

Jumaat lalu, sebahagian daripada lantai kolam renang dalam pembinaan di tingkat 6 kondominum itu runtuh dan arahan berhenti kerja sudah dikeluarkan kepada kontraktor.

Salkhukhairi yang juga timbalan presiden NGO, K-Literasi sementara itu turut mencadangkan bank menggantung pembayaran balik pinjaman oleh pembeli kerana lesen jualan pemaju sudah digantung.

Post a comment

0 Comments