Berita Palsu: Tertuduh menyesal, didenda RM5,000


SEORANG
pesara Jabatan Keretapi Negeri Sabah menyesal dan berjanji untuk tidak menyebar berita palsu lagi.

Aliuudin Amit, 67, yang dituduh di Mahkamah Majistret Sandakan hari ini didenda RM5,000 atau 10 bulan penjara jika gagal membayar denda.

Tertuduh,  didapati bersalah mengedarkan satu kenyataan palsu berkenaan wabak koronavirus di aplikasi WhatsApp dengan mendakwa seorang banduan meninggal dunia kerana virus itu di Penjara Sandakan.

Ketika rayuan, Aliuudin, yang tidak diwakili peguam, bertegas dia tidak berniat untuk mengaibkan sesiapa atas perbuatannya itu.

Namun, Timbalan Pendakwa Raya Franklin Ganggan Bennet memberitahu mahkamah rayuan itu bukan faktor utama untuk pertimbangan hukuman ringan.  Sebaliknya, beliau berkata mahkamah perlu mengutamakan kepentingan awam.

Kesalahan dilakukan Aliuudin itu tegasnya adalah serius dan boleh menyebabkan ketakutan dan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

Tertuduh mengaku bersalah atas melakukan kesalahan itu secara sedar.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. Dia mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan pengedaran itu secara sedar.

Pihak berkuasa polis sebelum ini berulang kali memberi amaran supaya warganet tidak menyebaran khabar angin dan berita tidak sahih mengenai penularan coronavirus 2019 (2019-nCoV) menerusi media sosial.

Difahamkan, pihak berkuasa polis telah membuka 23 kertas siasatan berhubung tindakan tidak bertanggungjawab itu.

Post a comment

0 Comments