Cadangan Tuan Ibrahim luar kebiasaan - TPM


TIMBALAN
Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan hasrat PAS untuk membawa usul undi percaya kepada Perdana Menteri sebagai sesuatu yang di luar kebiasaan.

Tegasnya, kebiasaannya parti pembangkang tidak membuat undi menyokong pemimpin kerajaan memerintah.

“Kita dah sokong Dr Mahathir lama sebelum PAS. Saya tidak pernah dengar pembangkang nak (undi) sokong. Selalunya pembangkang tidak sokong,” katanya menurut BH Online.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Persidangan Serantau Hidup Bersama Dalam Budaya Damai 2020 di Shah Alam.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, pada Sabtu lalu berkata, parti itu mahu membawakan usul tersebut di Dewan Rakyat kononnya untuk menangani kemelut peralihan kuasa yang dakwanya akan menyebabkan ketidakstabilan politik.

Terdahulu, cadangan Tuan Ibrahim itu dikritik banyak pihak.

Bekas hakim, Gopal Sri Ram  berkata, tiada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, Peraturan Mesyuarat Parlimen atau melalui persidangan untuk undi seperti itu dibawa ke Dewan Rakyat.

BACA: Usul mahu dikemuka PAS tindakan tidak normal

TIMBALAN Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mukhriz Mahathir turut mengkritik usaha itu dengan mendakwa tiada keperluan untuk usul itu dibawa.

Malah, anak Perdana Menteri itu turut mempersoal niat sebenar parti PAS berusaha membawa usul tersebut.


"Saya tak pasti apa kaedah dan keperluan Pas berbuat demikian,” tegas Menteri Besar Kedah itu.

Post a comment

0 Comments