Cadangan Tun M idea lapuk - AMK Selangor


CADANGAN Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memperkenal melaksanakan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)dianggap sebagai satu idea lapuk.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, PPSMI merupakan idea peninggalan kerajaan lama yang ditolak pakar bahasa.

Sehubungan itu tegasnya, jemaah menteri sepatutnya menolak cadangan yang diumumkan itu dan tidak sepatutnya menjadi tukang angguk.

"Gesaan itu merupakan idea lapuk peninggalan kerajaan lama yang telah ditolak oleh mana-mana pakar bahasa, sama ada bahasa asing mahupun bahasa ibunda.

"Sangat penting agar seluruh Jemaah Menteri menolak gesaan Pemangku Menteri Pendidikan ini di dalam mesyuarat kabinet, dengan tidak membiarkan ia datang daripada seorang yang pada masa sama merupakan Perdana Menteri," katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Najwan yang juga ADUN Kota Anggerik turut mengingatkan pihak kerajaan supaya memastikan semua dasar utama melalui mesyuarat kabinet sebelum dikemukakan kepada umum.

"Cara ini akan memastikan pentadbiran dan komunikasi kerajaan dilaksanakan dengan lebih teratur.

"Perlawanan kepada dasar bahasa Inggeris untuk pembelajaran sains dan matematik yang pernah disaksikan di era kerajaan Barisan Nasional adalah beban yang tidak perlu kepada kerajaan Pakatan Harapan di era Malaysia baharu," tambah beliau.

Cadangan Dr Mahathir menghidupkan PPSMI yang diperkenalkannya pada 2003 itu minggu lalu ditolak Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena).
 
Pada 2011. menteri pendidikan ketika itu, Muhyiddin Yassin berkata, program berkenaan menyaksikan ramai pelajar di luar bandar kandas dalam sains dan matematik.

Post a comment

0 Comments