COVID-19 nama rasmi virus koronavirus


PERTUBUHAN
Kesihatan Sedunia (WHO) semalam memutuskan nama rasmi bagi novel koronavirus.

Menurut Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus, nama COVID-19 telah dipilih sebagai nama rasmi bagi virus itu berlandaskan garis panduan yang ditetapkan oleh Organisasi Kesihatan Haiwan Sedunia (OIE) dan Organisasi Makanan dan Pertanian (FAO).

Jelasnya, nama baharu itu tidak merujuk kepada lokasi geografi tertentu, haiwan, individu mahupun mana-mana kumpulan budaya di dunia.

“Kami perlu mencari nama yang sesuai yang tiada kaitan dengan lokasi geografi, haiwan, individu atau mana-mana kumpulan budaya.

“Ia juga senang untuk disebut dan ada kaitan dengan wabak ini. Dengan adanya nama rasmi adalah penting bagi mengelakkan penggunaan nama lain dan timbulnya stigma.

“Ia juga memberi format standard untuk digunakan pada masa akan datang,” jelasnya pada sidang media harian berkenaan penularan koronavirus di Geneva .

Dalam pada itu, Malaysia dan Singapura dilapor bersetuju menubuhkan satu jawatankuasa kerja bersama untuk menangani jangkitan novel koronavirus.

Jawatankuasa kerja bersama ini akan diterajui oleh timbalan menteri kesihatan kedua-dua negara.

“Fokus kerjasama dua hala itu adalah berkongsi maklumat dalam bidang kesihatan awam, perubatan dan penyelidikan bagi memastikan penularan jangkitan 2019-nCoV ditangani secara berkesan," kata menteri kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad  dalam satu kenyataan.

Post a comment

0 Comments