Dalam mahkamah, Rosmah dituduh 'Bossy"


ISTERI bekas perdana Menteri, Rosmah Mansor disifatkan sebagai seorang yang ‘bossy’ (suka mengarah) sehingga boleh mempengaruhi keputusan kerajaan.

Pendakwa utama, Datuk Seri Gopal Sri Ram ketika perbicaraan kes rasuah Rosmah berkata, walaupun wanita itu tidak mempunyai kedudukan rasmi dalam kerajaan tetapi mempunyai pengaruh besar kerana sifatnya yang suka menguasai orang lain.

”Dia menempatkan dirinya dalam kedudukan di mana dia dapat mempengaruhi keputusan dalam sektor awam,” katanya semasa membaca pernyataan pembukaan pendakwaan pada hari pertama perbicaraan kes rasuah Rosmah di hadapan Hakim Mohamed Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Zaini Mazlan.

Terdahulu, Rosmah tiba di Mahkamah Tinggi hari ini bagi perbicaraan kes rasuah RM5 juta yang dihadapinya setelah tidak hadir pada Isnin lalu atas alasan kesihatan.

Isnin lalu, pihak pendakwaan memohon Mahkamah Tinggi menarik balik jaminan dan mengeluarkan waran tangkap terhadap Rosmah berikutan kegagalan menghadiri perbicaraan kes rasuah RM5 juta yang dihadapinya.

Sementara itu Sri Ram berkata, pendakwaan akan mengemukakan keterangan langsung dan ikut keadaan bagi menunjukkan tertuduh meminta dan menerima suapan mengikut pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Boleh dipenjara 20 tahun


Rosmah, 68, tidak mengaku bersalah atas dakwaan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin menerusi bekas pegawai khas kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor.

Wang itu sebagai upah kerana membantu syarikat berkenaan mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Gense/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Rosmah berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada 2018,  Sarawak Report mendakwa Najib Razak menandatangani projek untuk pemasangan panel tenaga solar di 369 sekolah di Sarawak itu

Pelaksanaan projek itu dikatakan melangkaui proses biasa ditetapkan Kementerian pendidikan Malaysia (KPM) supaya tender projek berkenaan diberikan secara terbuka, sebaliknya ia diserahkan terus kepada sebuah syarikat sewaan kereta di Bintulu.

Menteri Pendidikan sebelum ini, Dr Maszlee Malik berkata beliau dimaklumkan terdapat beberapa masalah mengenai isu pemberian kontrak dan mungkin wujud isu ketidakpatuhan terhadap tatacara perolehan yang serius dalam projek itu.

Post a comment

0 Comments