Dickson Street bakal jadi tarikan baharu di PD


KAWASAN perkelahan pinggir laut di Port Dickson bakal dibangunkan tarikan pelancongan baharu tidak lama lagi.

Ia susulan rancangan pembangunan 'Dickson Street’, tapak perniagaan yang bakal menempatkan kira-kira 200 usahawan di kawasan lapang bersebelahan Hotel D’Wharf Hotel.

Usaha membangunkan tapak perniagaan itu bukan sahaja akan menjana pendapatan penduduk sekitar, ia  dijangka akan merancakkan lagi kedatangan pelancong ke Port Dickson.

“Daerah ini itu sudah dikenali pengunjung luar dan dalam negara tetapi masih tiada satu lokasi yang menyediakan tapak perniagaan yang menjadi tumpuan untuk membeli-belah.

“Oleh itu, kita mahu wujudkan kawasan dengan keluasan kira-kira dua hektar bagi menempatkan 200 tapak niaga berukuran 10 x 10, iaitu berupa kedai kontena dan dilengkapi kemudahan serba moden,” kata Pengarah Urusan Dickson Street Sdn Bhd, Michael Chong.

Menurut Chong, Projek dengan kos anggaran RM4 juta tersebut dijangka bakal siap dan mula beroperasi pada pertengahan April depan.

“Sebanyak 120 premis akan menjual pelbagai jenis makanan tradisi dari 13 buah negeri dalam Malaysia manakala 80 premis lagi akan menjual pakaian, cenderamata, kraftangan dan pelbagai lagi produk.

“Kita juga menyediakan pentas untuk pelbagai persembahan kebudayaan, pertunjukan permainan tradisional seperti gasing, congkak dan dimeriahkan lagi dengan persembahan muzik dari kumpulan buskers,” katanya sambil berharap ‘Dickson Street’ akan diiktiraf sebagai satu produk pelancongan yang akan membantu menaikkan ekonomi negeri itu.

“Inilah objektif kami, mahu turut berkongsi peluang perniagaan kepada warga tempatan dan kepada mereka yang berminat sudah boleh mendaftar untuk berniaga di sini.

“Saya percaya ‘Dickson Street’ setanding dengan konsep yang sama di negara luar yang berjaya menjadi tumpuan pengunjung malah ia lebih menarik kerana lokasinya di tepi laut,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perpaduan dan Integrasi Nasional negeri, Choo Ken Hwa berkata, ‘Dickson Street’ akan mengembalikan kegemilangan Port Dickson satu ketika dahulu.

“Kerajaan negeri mengalu-alukan mana-mana pihak yang mahu membantu merancakkan ekonomi terutama di kawasan yang sering menjadi tumpuan pengunjung bagi merealisasikan idea mewujudkan lokasi seperti ‘Dickson Street’.

“Saya percaya ‘Dickson Street’ akan menjadi lokasi tumpuan setiap pengunjung yang datang ke Port Dickson sama ada untuk beriadah atau memberi peluang perniagaan kepada orang tempatan,” jelas Adun Lukut itu.

Post a comment

0 Comments