Dr Noordin kongsi tips elak terkena koronavirus


SEORANG Doktor Kesihatan Profesional memberi beberapa panduan untuk orang awam menghadapi kebimbangan berhubung penularan wabak koronavirus.

Dr Noordin Darus berkata, orang ramai dilarang panik kerana sifat itu akan mempengaruhi dan seterusnya menurunkan imuniti badan seseorang. Ia jelasnya meningkatkan lagi risiko seseorang terkena penyakit berjangkit.

Sebagai langkah pencegahan Dr Noordin berkata, orang awam perlu meningkat penjagaan diri selain mengambil langkah pencegahan, orang awam juga jelasnya wajar mengambil pendekatan bertenang.

"Apa yang menyebabkan kita kena mudah kena jangkitan sesuatu virus atau penyakit adalah bergantung kepada imuniti tubuh kita. Perkara ini mudah, kita cuma perlu jaga diri.

"Koronavirus ini terkenal dengan sifatnya yang takut air jadi untuk jaga diri kena kerap mandi, jaga pemakanan dan hadkan pergerakan ketika ini," katanya.

Beliau sebelumnya hadir pada Wacana Sinar Harian Siri 155 bertajuk: Koronavirus: Adakah kita lambat bertindak di Shah Alam. 

Panik berlebihan
Mengulas lanjut, beliau berkata, kebimbangan rakyat berhubung penularan wabak koronavirus terlalu berlebihan.

Kerajaan Malaysia sendiri jelasnya sangat berjaya menangani isu tersebut.

Sambil memuji usaha dilakukan, Dr Noordin berkata,  kerajaan sememangnya bertindak cepat dalam menangani penularan wabak koronavirus berdasarkan pengalaman berdepan wabak berbahaya sebelum ini.

"Sekarang kita tengok konsep (cara) China dan negara-negara luar selesaikan masalah (wabak) ini dan dari situ ada timbul tuduhan-tuduhan tidak berasas.

"Namun dari sudut sains, jika dicatatkan cuma 0.018 peratus mangsa meninggal itu dikira rendah dan situasi di Wuhan purata kematian yang direkodkan antara 2 hingga 2.3 peratus," katanya.

Dr Noordin turut berkongsi petua kepada individu yang merasa terkena jangkitan koronavirus.

Selain mendapatkan rawatan, beliau menyarankan individu terbabit meminum air kelapa dan air lemon suam antara enam hingga tujuh gelas pada hari pertama.

Tambahnya, pada hari kedua pula pengambilan air itu perlu diteruskan tetapi dikurangkan kepada masing-masing lima gelas serta perlu mengambil sayur hijau seperti kangkung.

"Uniknya koronavirus dia serang saluran pernafasan sama seperti influenza. Jadi saya juga nasihatkan jangan kerap makan gula, susu dan daging (sebagai usaha meningkatkan ketahanan badan)," katanya.

Post a comment

0 Comments