Exco AMK pusat terima ugutan bunuh


SIFAT
melampau dan taksub berpolitik dikalangan sebahagian rakyat negara ini dilihat semakin membimbangkan.

Kebelakangan ini, kita dihidangkan dengan banyak berita palsu yang antaranya bermotifkan politik, tidak kurang segelintir warganet mengeluar kenyataan ancaman kepada beberapa pemimpin.

Malah lebih membimbangkan, golongan taksub politik ini seolah-olah sudah tidak lagi boleh membezakan hitam dan putih apabila bertindak keterlaluan termasuk dengan membuat ugutan bunuh.

Terbaharu,  Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Tanjung Malim, Muhamad Alif Asyraf Abdull Rahim membuat laporan polis selepas menerima nota ugutan bunuh pada Selasa lepas.

Muhamad Alif, 28, menemui sekeping kertas A4 dengan ancaman yang diletakkan di cermin hadapan keretanya di tempat parkir awam di Slim River.

Menurutnya, nota terbabit tertera perkataan 'aku bunuh kau 3 hari lagi' dengan tulisan tangan menggunakan pen 'marker' merah.

"Laporan dibuat di Balai Polis Slim River pada Rabu lalu atas faktor keselamatan diri dan ahli keluarga.

"Ini kali pertama saya menerima nota berbaur ugutan bunuh dan saya anggap ia sesuatu yang serius.

"Saya serahkan sepenuhnya kepada siasatan dan tindakan polis," kata Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK) pusat itu dipetik.

Beliau tidak menolak kemungkinan nota ugutan bunuh itu ada kaitan dengan gerak kerja politik.

"Saya mengesyaki ia bersangkut paut dengan hal kerja dan bukan isu peribadi kerana pada 2017 lalu, saya juga pernah terima ancaman apabila cermin kereta dipecah," katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut.

Post a comment

0 Comments