Fitnah MB, Wanita HARAPAN N9 pula lapor polis


MAJLIS
Tertinggi Wanita Pakatan Harapan (HARAPAN) Negeri Sembilan membuat tiga laporan polis terhadap empat pemilik akaun Facebook.

Ia susulan tuduhan fitnah dan kata-kata kesat dibuat empat pemilik Facebook tersebut terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Laporan itu dibuat oleh Ketua Wanita HARAPAN Negeri Sembilan, Norwani Ahmat; Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sembilan, Azlina Zamli dan Wanita DAP, Nicole Tan Lee Koon di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, pagi tad.

Empat  pemilik akaun berkenaan ialah Tentera Semut, Sayap Kanan, Saadon Abd Salam dan Norshafinaz Nor Azman.

Menurut Norwani, mereka memfailkan laporan itu bagi menggesa polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melakukan siasatan dan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik akaun tersebut.

“Dalam kenyataan mereka bukan sahaja menghina Menteri Besar malah menghina institusi agama di negeri ini.

"Kenyataan tersebut juga berbaur perkauman dan berniat melaga-lagakan PH selain berunsur biadab dan melampau yang akan menyebabkan Menteri Besar terpalit dengan kata-kata penghinaan," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban di sini hari ini.

Sebelum ini, laporan serupa mengenai fitnah itu pernah difailkan Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Faiz Abdullah menggesa pemilik akaun terbabit disiasat atas fitnah dilemparkan.

"Facebook Tentera Semut yang kata Menteri Besar gadai maruah agama dengan nilai yang sikit, kerana ceritakan solat Subuh jam 7.30 pagi dan beritahu 50 peratus umat Islam negeri ini tak solat lima waktu.

"Pemilik akaun Saadon Abd Salam yang memberi komen atas kenyataan Tentera Semut itu pula kata mungkin Menteri Besar penganut agama majusi kerana jam 7.30 pagi, penganut agama itu menyembah matahari,” katanya pada Khamis.

Sementara itu, Nicole yang juga Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan turut mengecam tindakan pemilik akaun yang menyalahgunakan media sosial sebagai tempat untuk mengapi-apikan keadaan.
 

Post a comment

0 Comments