HARAPAN ada majoriti bentuk kerajaan - Khalid


MALAYSIA
tidak memerlukan satu lagi Pilihan Raya Umum (PRU) terutama ketika dunia diancam wabak koronavirus.

Ketika gabungan pembangkang menggesa Dewan Rakyat dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya baharu bagi menentukan kerajaan, Pakatan Harapan (HARAPAN) berkata,  ia tidak perlu diadakan mereka memiliki sokongan mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Perkara itu didedahkan Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abd Samad sebalik selesai mesyuarat Majlis presiden HARAPAN yang diadakan di Petaling Jaya malam tadi.

“Kita tidak bincang mengenai PRU dan kenapa perlu bazirkan duit rakyat untuk mengadakan PRU sedangkan kita boleh dapat majoriti yang jelas.

“Majoriti dua pertiga adalah perkara lampau dan tidak perlu dibincangkan lagi. Majoriti mudah sudah cukup untuk PH membentuk kerajaan,” katanya ketika ditemui media.

Tambah bekas Menteri Wilayah itu, pada mesyuarat dipengerusikan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, mereka turut membincangkan pelbagai perkara.

Bagaimanapun, Khalid turut menjelaskan mereka tidak menyentuh mengenai calon Perdana Menteri yang akan menerajui kerajaan baharu itu.

Namun berdasarkan beberapa kenyataan oleh parti dalam gabungan itu sebelum ini, dipercayai mereka bakal meletakkan Tun Dr Mahathir Mohammad sebagai pilihan mereka bagi memastikan proses urus tadbir negara dapat berjalan seperti biasa. 

Sementara itu, Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, ketiga-tiga parti komponen itu mencapai kata sepakat dan perkara itu hanya akan diumumkan esok.

"Kita dah ada keputusan dan keputusannya akan diketahui esok. Kita bincang tentang tiga parti yang masih ada dalam HARAPAN dan kita bincang tentang tujuan kita ke istana esok dan kita telah capai kata sepakat," katanya.

Post a comment

0 Comments