HARAPAN bakal bincang isu peralihan kuasa


PIMPINAN
Pakatan Harapan (HARAPAN) tetap akan mempertahankan perjanjian peralihan kuasa seperti yang disepakati gabungan itu sejak Januari 2018.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam satu kenyataan berkata, beliau membuat jaminan itu ketika bertemu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad dalam satu pertemuan siang tadi.

"Saya dan Tun Dr Mahathir Mohamad membincangkan mengenai peralihan kuasa.  Ada Usaha daripada PAS, sekumpulan dari UMNO dan sebilangan kecil dari KEADILAN sendiri yang dipercayai berusaha mendapatkan tandatangan menyokong kepimpinan Tun Dr Mahathir sehingga akhir penggal

"Saya memaklumkan kepada Perdana Menteri bahawa memandangkan wujud muslihat licik sedemikian maka pimpinan HARAPAN dan beberapa rakan lain akan tetap mempertahankan perjanjian yang dimeterai pada 7 Januari 2018," katanya.

Anwar dalam pertemuan dengan Tun M
Perjanjian itu yang disefahami Majlis Presiden HARAPAN menyatakan sokongan terhadap Dr Mahathir selaku Perdana Menteri Ke-7 dan Anwar sebagai Perdana Menteri Ke-8.

Harapan diberikan KEADILAN, Amanah, DAP dan Bersatu sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) lalu itu dilihat sebagai faktor menyakinkan rakyat yang menyebabkan Barisan Nasional (BN) tumbang.

Portal Sarawak Report pada semalam berkongsi laporan yang memetik sumber mendakwa bahawa ahli parlimen pembangkang dan Bersatu serta beberapa ahli parlimen KEADILAN yang memihak kepada Mohamed Azmin Ali "telah digesa untuk datang ke Kuala Lumpur" bagi menandatangani SD itu dalam tempoh 48 jam terakhir.

Khabar angin itu berlegar selepas PAS bercadangan mahu membawa usul percaya kepada perdana menteri

"Perdana Menteri tidak terlibat dalam usaha tersebut malah mengulangi kenyataan tegas bahawa beliau akan melepaskan jawatan seperti yang telah dijanjikan," tambah Anwar yang berkongsikan butir perbincangannya bersama Dr Mahathir.

Menurut Ahli Parlimen Port Dickson itu lagi,  isu itu akan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) pada 21 Februari ini.

"Selama hampir dua tahun usia PH, muafakat yang termeterai tersebut tidak pernah digugat oleh mana-mana parti bersekutu.

"Saya cenderung agar beliau terus menerajui negara sehingga selesai Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC)," jelas Anwar lagi.

Dr Mahathir sebelum ini menegaskan bahawa beliau sesekali tidak akan memungkiri janji dibuatnya bagi menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar seperti yang telah diumumkan kepada rakyat.

Namun kebelakangan ini timbul gesaan dari pembangkang dan Timbalan Presiden KEADILAN, Azmin Ali yang mahu Dr Mahathir kekal perdana menteri.

Post a comment

0 Comments