HARAPAN konsisten dalam isu peralihan kuasa


PARTI-PARTI dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) tetap konsisten dalam isu peralihan kuasa kedudukan Perdana Menteri seperti dipersetujui sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil ketika megulas isu peralihan kuasa yang dipertikai sesetengah pihak baru-baru ini berkata, perkara mengenai peralihan kuasa telah mencapai permuafakatan di peringkat akar umbi gabungan itu.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tambahnya bukan sahaja konsisten, tetapi telah menunjukkan isyarat politik yang jelas berhubung penggantinya nanti.

“InsyaAllah ... Datuk Seri Anwar Ibrahim akan ambil alih selepas Tun Dr Mahathir Mohamad, Dr Mahathir telah menyebutnya dan HARAPAN juga telah membangkitkan perkara sama, tiada perbezaan.

“Tun Mahathir konsisten dalam kenyataannya ... beliau akan melepaskan jawatan Perdana Menteri selepas (sidang) kemuncak Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020 dan selepas itulah sepatutnya," katanya dipetik laporan Awani.

Menurut Fahmi, peralihan kuasa itu nanti dijangka memberi impak positif kepada kedudukan ekonomi negara.

Keadaan politik dalam negara yang lebih stabil tegasnya akan meyakinkan lagi golongan pelabur.

Bagaimanapun, Fahmi yang merupakan Ahli Parlimen Lembah Pantai turut berpendapat, ketika ini adalah lebih penting untuk pemimpin HARAPAN terus melunaskan manifesto dan membantu menyelesaikan masalah rakyat.

Sebagai rekod, Tun Mahathir sebelum ini telah berkali-kali menyatakan hasrat beliau untuk melepaskan jawatan Perdana Menteri dan menyerahkannya kepada Anwar.
 
Kebelakangan ini ada usaha-usaha licik didakwa dilakukan pihak tertentu bagi memastikan peralihan kuasa tidak berlaku.

Ada  sebahagian penyokong beranggapan peralihan kuasa Perdana Menteri kepada Anwar akan menyukarkan lagi usaha parti-parti pembangkang merebut kuasa.

Post a comment

0 Comments