Harga emas pada paras tertinggi dalam 7 tahun


HARGA
emas mencecah paras tertinggi dalam tujuh tahun dan mencatatkan kenaikan mingguan tertinggi dalam tempoh enam bulan.

Perkembangan itu susulan permintaan kepada aset selamat itu meningkat selepas pertambahan kes membabitkan koronavirus menyebabkan pelabur melakukan langkah perlindungan aset.

Memetik laporan Reuters, spot emas meningkat 0.7 peratus kepada AS$1,630.97 seauns, selepas mencecah paras tertinggi sejak 15 Februari 2013 pada AS$1,631.63 dalam sesi awal.

Bagi minggu ini, harga emas meningkat 2.9 peratus untuk mencatatkan peratus kenaikan mingguan terbesar sejak 9 Ogos lalu. Niaga hadapan emas AS pula turut menokok 0.9 peratus pada AS$1,634.30.

“Tumpuan utama bagi emas adalah susulan ketidaktentuan virus ... dan merebaknya ia ke seluruh dunia,” kata ahli ekonomi National Australia Bank, John Sharma.

Pegangan dalam dana tukaran asing disokong emas terbesar dunia, SPDR Gold Trust, meningkat 0.25 peratus kepada 933.94 tan, paras tertinggi sejak November 2016.

Spot emas mungkin meningkat ke lingkungan AS$1,639 hingga AS$$1,667 seauns, kata penganalisis teknikal Reuters, Wang Tao..

“Inventori rendah daripada defisit berstruktur pasaran dan skop terhad bekalan akan menyebabkan permintaan kekal kukuh,” kata penganalisis ANZ dalam satu nota.

Saham Asia merosot apabila kebimbangan virus menyebabkan dana mencari perlindungan untuk aset Amerika Syarikat (AS), sekali gus menaikkan dolar ke paras tertinggi dalam tiga tahun, lapor agensi berita itu lagi.
 

Post a comment

0 Comments