Hasrat Dr Mahathir hidupkan semula PPSMI dibantah


HASRAT  pemangku menteri pendidikan Dr Mahathir Mohamad untuk kembali melaksanakan pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dibantah.

Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) dalam kenyataannya berkata, keinginan Dr Mahathir itu adalah bertentangan dengan aspirasi Pendidikan nasional dan akan merosakkan tahap pendidikan anak bangsa, terutamanya pelajar luar bandar.

"Kajian yang dibuat oleh UPSI pada 2009 merekodkan kemerosotan sehingga 80 peratus di sekolah kebangsaan dan di sekolah menengah sehingga program ini dibatalkan pada 2010.

"Telah terbukti sebelum ini pencapaian dalam peperiksaan merudum dan banyak pembaziran berlaku apabila perbelanjaan untuk melaksanakan PPSMI tidak mendatangkan kebaikan.

"PPSMI telah banyak meninggalkan kesan buruk kepada tahap pencapaian para pelajar," kata Presiden Pena, Dr Mohamad Saleeh Rahamad

Persatuan itu turut mendesak perdana menteri membatalkan hasrat memulakan semula PPSMI atau tegasnya kerajaan hari ini akan berhadapan semula penentangan rakyat.

Menurut Saleeh lagi, Dr Mahathir menumpukan usaha pemulihan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan, bukannya menambahkan kemarahan rakyat."

"Pena akan bersama-sama rakyat untuk menentang program PPSMI kerana kami percaya langkah pelaksanaan PPSMI akan merosakkan sistem pendidikan kebangsaan dan menghancurkan masa depan anak bangsa.

"Negara mungkin akan menghadapi gelombang huru-hara yang lebih hebat jika PPSMI dilaksanakan juga," tegas beliau.

Mahathir memperkenalkan program pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) pada tahun 2003 semasa kali pertamanya sebagai perdana menteri.

Namun, dasar itu tidak popular, termasuk di kalangan parti pembangkang ketika itu seperti Parti Keadilan rakyat (KEADILAN)

Ia  dibatalkan pada 2011. menteri pendidikan ketika itu, Muhyiddin Yassin berkata, program berkenaan menyaksikan ramai pelajar di luar bandar kandas dalam sains dan matematik.

Post a comment

0 Comments