Isteri Najib dilapor masuk hospital


ISTERI
bekas perdana menteri Najib Razak, Rosmah Mansor dilapor dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur malam tadi untuk menerima rawatan.

Peguam Rosmah, Akberdin Abdul Kadir dipetik satu laporan portal mengesahkan perkara itu.

Difahamkan, Rosmah sakit belakang dan tengkuk yang serius menyebabkan beliau tidak boleh duduk lama.

BACA:
Najib buat kejutan, sumpah laknat dalam mahkamah

Semalam, perbicaraan rasuah terhadap Rosmah ditangguhkan selepas peguamnya memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa Rosmah cuti sakit.

Peguamnya,   Jagjit Singh memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan bahawa doktor kepada Rosmah  mengeluarkan sijil perakuan sakit pada 2 Februari lalu yang menyatakan beliau tidak dapat hadir ke mahkamah.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram membantah alasan itu kerana ia dilihat sebagai cubaan untuk mengelak daripada menghadiri perbicaraan.

Sri Ram berkata, pihak pendakwaan menyatakan ia adalah satu ‘perbuatan jahat’ kerana pihak pembelaan sepatutnya menyertakan sijil cuti sakit tersebut lebih awal bagaimanapun Jagjit memberitahu, beliau hanya dimaklumkan mengenai keadaan Rosmah, malam semalam.

Rosmah ketika ini berdepan tiga pertuduhan rasuah mencecah ratusan juta ringgit melibatkan projek solar hibrid untuk membekalkan kuasa elektrik kepada 369 buah sekolah di pedalaman Sarawak.

Beliau didakwa bersubahat untuk menerima rasuah RM187.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin menerusi bekas pembantunya, Rizal Mansor.

Sementara itu, Hakim Mohamed Zaini Mazlan meminta supaya Rosmah hadir ke mahkamah pada Rabu ini.


 

Post a comment

0 Comments