Jangan gelojoh mansuh status HSK Kuala Langat Utara



MENTERI BESAR Selangor, Amirudin Shari digesa tidak gopoh dalam isu cadangan pemansuhan status Hutan Simpan Kekal Kuala Langat Utara.

Setiausaha Agung Otai Reformis 98, Abdul Razak Ismail berkata, cadangan untuk  memansuhkan status hutan berkenaan adalah tidak wajar kerana akan menjejaskan khazanah alam serta penduduk orang asli di sini.

"Apa Otai Reformis nak cakap pada menteri besar adalah supaya beliau tidak gopoh kerana kamu sudah pecah rekod.

"Sewaktu pentadbiran UMNO-BN, cadangan pewartaan dikeluarkan adalah dengan keluasan 404.69 hektar namun pada zaman menteri besar kini, beliau cuba untuk mansuh 930.93 hektar.

"Kita sarankan beliau agar tak gopoh dan jangan sebab isu ini akan jatuhkan dia nanti," katanya Abdul Razak.

Tambah Abdul Razak lagi, cadangan pemansuhan hutan simpan itu dilihat bakal memusnahkan khazanah alam di dalamnya yang berusia kira-kira 8,000 tahun.

Beliau sebelumnya menyerahkan memorandum bantahan cadangan pemansuhan status Hutan Simpan Kekal Kuala Langat Utara kepada Exco Alam Sekitar,Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor hari ini.

Sebelum ini, Jabatan Perhutanan Selangor mengeluarkan notis cadangan bagi memansuhkan pewartaan status hutan simpan berkenaan menerusi ruangan iklan di akhbar tempatan.

Amirudin pada 4 Dis 2018, dilaporkan memberitahu bahawa kerajaan negeri belum membuat sebarang keputusan mengenai penyahwartaan sebahagian kawasan Hutan Simpang Bukit Lahong, Gombak bagi membolehkan projek perumahan dijalankan di kawasan itu.

Malah, katanya, mana-mana pihak boleh menyatakan bantahan ketika proses pendengaran awam dijalankan nanti.

Tupai Pygmy


Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) semalam menggesa kerajaan Selangor supaya tidak memansuhkan status hutan simpan kekal itu kerana ia kaya dengan sumber biodiversiti unik termasuk tupai pygmy yang hanya boleh ditemui di sana.

Naib Presiden 1 Peka, Saha Deva berkata sekiranya cadangan pemansuhan itu diteruskan, ia bukan sahaja akan memusnahkan keadaan semula jadi hutan tetapi juga menjejaskan habitat flora dan fauna serta mata pencarian penduduk kampung di sekitar kawasan tersebut.

Difahamkan, kawasan tersebut juga merupakan hutan gambut dan bakau kedua terpenting di Selangor selepas Hutan Simpan Raja Musa di Kuala Selangor.

Dalam perkembangan sama, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor turut mendesak kerajaan negeri menolak cadangan penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara.

Pengarah Komunikasinya, Mohd Khairool Ngadon, berkata AMK Selangor membuat ketetapan membantah cadangan itu memandangkan ia kawasan hutan gambut dan bakau kedua terpenting di Selangor selepas Hutan Simpan Raja Musa.

"Justeru, Pemuda PKR Selangor mendesak agar Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Amirudin Shari menolak cadangan penyahwartaan ini," tegas mereka.

Post a comment

0 Comments